mutakhir

Mohon doa penglihatan pulih

Alor Setar: Walaupun buta akibat penyakit glukoma sejak 10 tahun lalu, itu bukan penghalang buat seorang wanita warga emas untuk menjadi tetamu Allah dan ingin berdoa di depan Kaabah supaya penglihatannya kembali pulih.

Rohani Wahab, 60, berkata, dia nekad untuk menunaikan ibadat haji itu selepas menerima kuota Tabung Haji dan ditemani suaminya, Abdul Ghani Mahmud 63.

Menurutnya, pada mulanya dia memohon untuk membawa pengiring namun tidak mendapat pelepasan sebaliknya pihak Tabung Haji hanya membenarkan suami untuk membantunya ketika mengerjakan haji.

“Hanya suami saja diluluskan untuk turut pergi menunaikan haji ini menyebabkan saya pergi ke sana tanpa pengiring.

“Bagaimanapun, saya hanya bertawakal kepada Allah dan sempat berkenalan dengan beberapa orang rakan dan mereka bersetuju menolong saya di tanah suci itu nanti,” katanya ketika ditemui di Hotel Tabung Haji, di sini, semalam.

Rohani berkata, dia tidak tahu bagaimana hendak membalas jasa mereka nanti dan berharap Allah akan memudahkan segala-galanya di sana nanti.

“Saya juga akan menggunakan sepenuhnya pengalaman pada lima tahun lalu ketika membuat umrah bersama keluarga.

“Alhamdulillah, saya dapat membuat umrah lima tahun lalu, dan ia satu pengalaman berharga untuk saya kerana ketika itu sudah buta,” katanya.

Katanya, pengalaman itu sedikit sebanyak akan membantunya ketika di tanah suci dan menjalankan ibadat dengan baik.

“Saya mula memasang angan-angan untuk mengerjakan haji ini selepas pulang dari umrah.

“Ketika itu saya berasa terlalu dekat dengan Kaabah walaupun melihatnya dengan pandangan mata hati dan bukan seperti insan lain yang mampu melihat,” katanya.

Menurut Rohani, sejak itu dia terlalu rindukan Kaabah hingga sering bermimpi berada berdekatan dengannya.

“Oleh itu, saya nekad mencukupkan tabungan dalam Tabung Haji dan ingin berdoa supaya dapat melihat kembali dan dikurniakan kesihatan yang baik,” katanya.

Disiarkan pada: August 21, 2015 @ 9:29am
d