mutakhir

Turun ilmu pendakian

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Lapan penceramah yang juga pendaki bertauliah dalam dan luar negara akan berkongsi kepakaran masing-masing dalam Seminar Pergunungan dan Altitud Tinggi (MOHAS) 2015 yang bakal diadakan di Janda Baik, Pahang pada Rabu hingga Jumaat depan.

Menurut Presiden Persatuan Kembara Negara (PKN) Datuk Khalid Yunus, penceramah terbabit terdiri daripada pengamal perubatan, pegawai penyelidik, penggiat rekreasi dan pendaki gunung.

“Mereka dibarisi nama besar seperti Frits Vrijlandt iaitu Presiden Persekutuan Pergunungan dan Pendakian Antarabangsa (UIAA), Pengerusi Jawatankuasa Perubatan UIAA dari England Dr David Hillebrandt serta Pengerusi Jawatankuasa Latihan dan Keselamatan UIAA Steve Long.

“Pada masa sama, Jurupandu Profesional Persatuan Jurupandu Pergunungan Nepal Tendi Sherpa dan Pakar Perubatan dan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur Dr Alzamani Idrose juga terbabit dalam berkongsikan pengalaman dan kepakaran mereka.

“Turut membantu dalam menjayakan seminar itu ialah penceramah daripada Taman Negara Sabah dan Pahang, Muslim Aid Malaysia dan Himalaya Trekking Nepal,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, seminar julung kali dianjurkan itu sebagai perintis program selepas diiktiraf sebagai ahli gabungan UIAA yang berpangkalan di Bern, Switzerland.

“Saya melihat pelancongan lasak berpotensi dimajukan dalam Malaysia memandangkan kita mempunyai banyak tarikan rekreasi dan lokasi sukan lasak yang boleh menarik minat pelancong asing menyertainya.

“Justeru, seminar ini sebagai titik permulaan kepada penggiat rekreasi khususnya jurupandu meningkatkan kemahiran dan pengetahuan masing-masing sebelum pergi lebih jauh dalam bidang ini.

“Peserta yang menyertai seminar ini bukan saja diberikan pendedahan ilmu, tetapi berpeluang bertanya secara langsung dan melihat beberapa demonstrasi kaedah menyelamat dan penyelesaian pantas masalah ketika di atas gunung,” katanya.

Orang ramai yang berminat menyertai seminar ini boleh melayari laman web www.kembaranegara.com atau menghubungi urus setia di talian 013-3507040 atau 019-2500062.

PKN muncul organisasi pertama di peringkat ASEAN diiktiraf sebagai ahli gabungan UIAA hingga meletakkan Malaysia dalam senarai 80 negara yang diiktiraf peringkat antarabangsa.

Disiarkan pada: August 22, 2015 @ 5:09am
d