mutakhir

Ajal tepi jalan

Oleh Mohd Hanafis Abdul Haris

Batu Pahat: Akibat gagal mengelak lori yang diletakkan di tepi jalan, dua remaja maut selepas motosikal dinaiki merempuh belakang kenderaan berat itu di Kilometer 13, Jalan Kluang-Ayer Hitam, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, Mohamad Ridwan Hilmi Mohd Rashid, 16, dan Sharifah Norraffiqah Syed Hafiz, 15, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di badan.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang menaiki Yamaha RXZ itu dalam perjalanan dari Parit Raja ke bandar Batu Pahat.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, Mohamad Ridwan dipercayai gagal mengelak lori di tepi jalan dan merempuh bahagian belakang kenderaan berkenaan.

“Siasatan awal juga mendapati lori terbabit berada di tepi jalan itu sejak petang kejadian selepas mengalami kerosakan.

“Namun ia diletakkan di bahu kiri jalan, kemungkinan mangsa tidak sempat mengelak lalu merempuhnya,” katanya.

Menurutnya, mayat dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: August 22, 2015 @ 5:11am
d