mutakhir

Pindaan akta beri lebih kuasa

Tumpat: Pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 akan memberi kuasa yang lebih kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menangani jenayah siber.

Pengerusi SKMM, Datuk Seri Dr Halim Shafie berkata, pindaan itu juga akan membolehkan pihaknya menangani penularan aktiviti sebaran maklumat palsu, bahan yang memberi ancaman kepada rakyat dan negara selain bahan lucah dan fitnah.

Katanya, ketika ini penilaian semula akta itu dan penstrukturan SKMM sedang dijalankan sebelum cadangan pindaan dibuat untuk dibentangkan di Parlimen pada Oktober ini.

“Kami juga melihat secara khusus Seksyen 233 dalam akta ini yang merujuk kepada penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian Internet, selain peruntukan lain.

“Tujuan utamanya supaya boleh menggalakkan orang ramai menggunakan Internet secara baik dan lebih bermanfaat,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) di Kampung Kajang Sebidang, di sini, semalam.

Halim berkata, pihaknya mengadakan pelbagai kempen kesedaran di seluruh negara dalam usaha menyedarkan masyarakat mengenai penggunaan Internet yang bijak.

Di samping itu, katanya, penguatkuasaan terus dilakukan termasuk mengesan pihak yang sengaja melakukan panggilan kecemasan MERS 999 palsu dan penyebar sistem pesanan ringkas (SMS) lucah.

Katanya, pada minggu lalu, dua lelaki masing-masing berasal dari pantai timur sudah ditahan berhubung kes berkenaan dan diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Disiarkan pada: August 24, 2015 @ 7:56am
d