mutakhir

'Mereka masih selamat'

Oleh Mohd Ruzaini Zulkepli

Kota Kinabalu: “Kali terakhir kedua-dua mangsa culik berhubung dengan keluarga mereka kira-kira minggu lalu,” kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abd Rahman mengulas berhubung perkembangan kes culik warga tempatan, Thien Nyuk Fun, 50, dan Bernard Then Ted Fun, 39, semalam.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa difahamkan selamat dan proses rundingan masih giat dijalankan untuk membebaskan mereka selepas diculik sekumpulan lelaki bersenjata dalam kejadian di Restoran Ocean King di Jalan Batu Sapi, Sandakan, 14 Mei lalu.

“Berdasarkan maklumat yang kami terima, kami mengesahkan mereka masih selamat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di sini.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra.

Pada masa sama, Jalaluddin meminta ahli keluarga kedua-dua mangsa untuk lebih bersabar memandangkan usaha membebaskan Thien dan Bernard giat dijalankan.

Jelasnya, pihaknya juga mengambil langkah tidak terburu-buru dalam memenuhi tuntutan kumpulan penculik berikutan jumlah diminta sangat besar.

Difahamkan, sebelum ini, kumpulan suspek menuntut tebusan RM60 juta sebelum ia diturunkan kepada RM30 juta.

“Proses pembebasan kedua-dua mangsa mengambil masa dan kami harap keluarga mereka lebih bersabar. Kami juga sentiasa berhubung dengan rakan sejawat di Filipina berhubung perkembangan (operasi) yang dilakukan mereka,” katanya.

Dalam kejadian 14 Mei lalu, Thien dan Bernard dilarikan tujuh lelaki bersenjatakan raifel M-16 dan pistol. Kumpulan suspek terbabit dipercayai didalangi Muktadil Bersaudara itu kemudiannya meloloskan diri ke Pulau Jolo, selatan Filipina.

Disiarkan pada: August 24, 2015 @ 11:13am
d