mutakhir

Nafi anggota UMNO sertai perhimpunan Bersih

Kuala Lumpur: Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semalam menafikan anggota UMNO turut serta dalam perhimpunan Bersih 4.0 yang diadakan Sabtu dan Ahad ini.

“Ada dakwaan mengatakan ada penyokong akar umbi UMNO terbabit dengan perhimpunan ini. Jawapan saya, mana ada, ini semua cerita dakyah Bersih yang kotor,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah program Ekspresi Seni @ Kuala Lumpur Lake Garden Festival (KLLGF) 2015 di sini, semalam.

Tengku Adnan, yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata demikian bagi mengulas laporan berita portal anggota UMNO menyertai perhimpunan itu.

Sementara itu, Tengku Adnan berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tetap bertegas tidak membenarkan penganjuran perhimpunan itu diadakan di sekitar Dataran Merdeka hujung minggu ini kerana ia menjejaskan persiapan sambutan Hari Kebangsaan 2015 yang akan diadakan di lokasi berkenaan.

Katanya, DBKL tidak meluluskan tempat perhimpunan berkenaan walaupun penganjur Bersih sebelum ini mendakwa hanya berkumpul di sekitar atau kawasan paling hampir dengan Dataran Merdeka dan tidak mengganggu persiapan sambutan acara tahunan itu.

Sebelum ini, polis meminta penganjur Bersih 4.0 mengubah tempat perhimpunan yang dirancang, iaitu di Dataran Merdeka dan Padang Merbok, ke tempat lain berikutan lokasi berkenaan dianggap tidak sesuai untuk perhimpunan itu. – BERNAMA

Disiarkan pada: August 24, 2015 @ 11:14am
d