mutakhir

Tiada bukti saintifik

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Kuala Lumpur: “Tiada sebarang kajian atau penyelidikan saintifik yang dilakukan pakar perubatan untuk membuktikan dakwaan kononnya hidangan daging buaya memanjangkan umur,” tegas Pakar Pemakanan dan Diatetik Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Prof Dr Fatimah Arshad.

Beliau mengulas laporan Metro Ahad semalam mengenai sup dan daging buaya perap yang kononnya boleh memanjangkan usia dan menyembuhkan penyakit barah.

Hidangan eksotik spesies yang dilindungi itu dikesan menjadi menu utama sebuah restoran di Seri Kembangan, dan laris dijual biarpun dengan harga RM300 semangkuk.

Kewujudan menu istimewa itu terbongkar hasil serbuan penguat kuasa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Khamis lalu.

Kepercayaan baru yang kononnya boleh memanjangkan umur dan menyembuhkan penyakit barah itu menyebabkan ramai yang mahu mencuba.

Menurut Fatimah, orang ramai tidak seharusnya mempercayai dakwaan berkenaan kerana ia mengarut dan tidak masuk akal sama sekali.

“Tiada bukti kukuh mengesahkan sajian spesies dilindungi itu boleh memanjangkan umur seseorang apatah lagi menyembuhkan penyakit kronik seperti barah.

“Kaedah rawatan penyakit barah tiada berkaitan dengan sebarang makanan eksotik atau sajian spesies terancam seperti buaya ini dan ia juga haram dimakan orang Islam,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, jika daging buaya terbukti membantu menyembuhkan penyakit kronik berkenaan, pasti ia digunakan secara meluas dalam bidang perubatan.

“Banyak kaedah rawatan penyakit barah antaranya mengamalkan gaya hidup serta pemakanan sihat, memperbanyakkan makanan dan buah-buahan anti- oksidan, tetapi bukan pengambilan sajian buaya.

“Jadi, saya nasihatkan kepada orang ramai supaya jangan mudah terpedaya dengan iklan yang berleluasa di media sosial kononnya sajian buaya boleh menyembuhkan penyakit barah atau memanjangkan usia kerana ia tidak benar sama sekali.

“Jika ada kemusykilan, segeralah mendapat nasihat daripada pakar perubatan yang bertauliah,” katanya.

Disiarkan pada: August 24, 2015 @ 11:37am
d