mutakhir

Elaun tak terjejas

Kuala Lumpur: Kerajaan menggunakan mata wang asing untuk membayar elaun pelajar tajaannya di universiti luar negara, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.

Sehubungan itu, beliau berkata, kemerosotan nilai Ringgit setiap hari kebelakangan ini tidak menjejaskan pembiayaan kepada pelajar terbabit.

“Banyak kekeliruan sebelum ini, kami taja pelajar menggunakan nilai mata wang asing bukan ringgit. Ikut dolar Amerika, Pound Sterling,” katanya kepada media selepas Majlis Konvokesyen Program Internship Kolej Komuniti-MMC Gamuda, di sini, semalam.

Beliau mengulas rintihan pelajar Malaysia di luar negara termasuk di Amerika Syarikat dan United Kingdom yang terkesan berikutan kejatuhan Ringgit.

Sebelum ini Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah menyatakan kebimbangan terhadap pelajar Malaysia di negara berkenaan yang kemungkinan besar menghadapi masalah kewangan berikutan kejatuhan nilai mata wang Malaysia.

Melalui status Facebook, baginda risau jika pelajar Malaysia yang kini menetap di kedua-dua negara itu mempunyai wang yang cukup atau tidak untuk perbelanjaan mereka selain bimbang beban mungkin dialami ibu bapa atau keluarga pelajar terbabit bagi pengajian mereka.

Disiarkan pada: August 25, 2015 @ 9:59am
d