mutakhir

TVET jamin masa depan cerah

Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: “Ibu bapa jangan risau mengenai masa depan anak jika gagal ke universiti kerana mereka boleh memilih menjalani TVET (Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) di kolej komuniti dan vokasional kerana ia jaminan masa depan lebih cerah,” kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata, program itu menjadi pilihan utama lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjelang 2025.

Katanya, pembangunan TVET dijangka berkembang lapan peratus menjelang 2025 berbeza bidang akademik hanya tiga peratus.

“TVET bakal menjadi laluan perdana bagi lepasan SPM kerana gaji yang ditawarkan di pasaran lumayan iaitu minimum RM2,500 sebulan selepas tamat pengajian,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Konvokesyen Program Internship Kolej Komuniti-MMC Gamuda di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Datuk Amir Md Noor, Pengarah Urusan Kumpulan Gamuda Berhad Datuk Lin Yun Ling, Pengarah MMC Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd Datuk Ir Paul Ha dan Pengarah MMC-Gamuda Datuk Azmi Mat Nor.

Seramai 17 pelajar perintis dari Kolej Komuniti Sabak Bernam dan Kolej Komuniti Kuantan menamatkan program itu di Akademi Latihan Terowong MMC-Gamuda di Kota Kemuning, dekat sini.

Mereka menjalani latihan tiga semester bagi melengkapkan pengajian Sijil Kolej Komuniti.

Akademi itu ditubuhkan khas bagi memenuhi keperluan kemahiran membina terowong dan kepakaran bagi projek Transit Aliran Massa (MRT).

Disiarkan pada: August 25, 2015 @ 10:00am
d