mutakhir

Gaji itu untuk ibu...

Oleh Shamsudin Husin

Chukai: “Mak ambillah semua tunggakan gaji saya.” Itu kata-kata akhir Mohd Syahrul Amin Abdullah kepada ibunya, Che Ku Zainab Che Embong sebelum terbabit dalam kemalangan di Kilometer 27.5 Jalan Chukai-Air Putih, dekat Kampung Dadong, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, Mohd Syahrul, 21, yang menunggang motosikal maut di tempat kejadian selepas merempuh belakang sebuah lori.

Che Ku Zainab, 54, berkata, anaknya yang bekerja di kilang kelapa sawit di Kampung Padang Kubu, di sini, juga ada berpesan supaya menjaga kad pengenalannya dengan baik.

Menurutnya, dia menyedari kelainan tingkah laku anak bongsu enam beradik itu yang sangat manja dengannya sejak tiga hari lalu.

Katanya, perubahan itu menyebabkan dia tidak sedap hati dan menimbulkan pelbagai tanda tanya.

“Anak bongsu saya yang membahasakan dirinya sebagai Amin juga ada menyebut dia akan mati dulu daripada emak dan kini ia menjadi kenyataan.

“Selain banyak menyebut pasal kematian, arwah juga ada berpesan supaya saya ambil semua tunggakan wang gajinya.

“Arwah turut menyatakan hasrat untuk berhenti kerja dan mencari kerja lain,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tersusun Lubuk Lesung, di sini, semalam.

Che Ku Zainab berkata, sebelum kemalangan itu, anaknya memaklumkan mahu berjumpa dengan rakan sekampungnya kerana dia sangat rindukan mereka.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Mohd Daud Ibrahim berkata, mangsa yang menunggang Yamaha 125Z meninggal dunia di tempat kejadian selepas cedera parah di kepala dan badan.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa cuba memotong sebuah lori dua tan, tetapi gagal sebelum merempuh bahagian kanan kenderaan berat terbabit dan terjatuh.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan orang ramai yang menyaksikan kejadian berkenaan diminta tampil menyalurkan maklumat,” katanya.

Disiarkan pada: August 25, 2015 @ 10:03am
d