mutakhir

Lapan siri kursus bimbingan

Makkah: Tabung Haji (TH) akan mengaturkan sekurang-kurangnya lapan siri kursus bimbingan ibadat kepada jemaah haji Malaysia sebagai persediaan menjelang hari wukuf.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Syed Salleh Syed Abdul Rahman berkata, selain itu mereka juga akan mengikuti pelbagai aktiviti dianjurkan TH dan melakukan ibadat secara persendirian.

“Di Makkah, jemaah haji akan ikuti sesi bimbingan sebanyak lapan kali selain mengadakan aktiviti ibadat secara persendirian.

“Insya-Allah kami harapkan jemaah haji Malaysia akan berada di sini dalam keadaan yang selamat dan sihat walaupun berdepan keadaan cuaca panas serta keadaan berlainan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyambut ketibaan kumpulan pertama jemaah haji seramai 450 orang dari Madinah yang selamat tiba di sini pada jam 2.30 petang waktu Arab Saudi, semalam.

Kumpulan pertama jemaah haji yang menginap di maktab 83 di sini dibawa menaiki 10 bas sewa khas dari Madinah.

Ketibaan mereka di pekarangan Bangunan Tabung Haji Abraj Al-Janadriah di sini disambut mesra oleh petugas haji TH apabila diberi minuman air zamzam dan kurma.

Mereka kemudiannya mengambil kesempatan untuk berehat sebelum dibawa melakukan tawaf dan saie umrah di Masjidil Haram selepas solat Isyak.

Kumpulan berkenaan sebelum ini tiba di Madinah pada 16 Ogos lalu menerusi penerbangan pertama KT1 dan berada di sana selama lapan hari untuk ziarah.

Disiarkan pada: August 25, 2015 @ 10:13am
d