mutakhir

Imbau kenangan 45 tahun lalu

Kelana Jaya: Pengalaman sebagai petugas haji yang membawa jemaah ke Tanah Suci menjadi satu bonus buat Ariffin Adnan, 60, yang terpanggil untuk menjadi tetamu Allah SWT sekali lagi pada musim ini.

Beliau yang juga pesara awam pernah menjadi petugas haji pada 1970 dan pengalamannya ketika itu tidak mampu dinilai dengan wang ringgit berikutan persekitaran Tanah Suci yang berbeza berbanding sekarang.

“Walaupun keadaan ketika itu sangat berbeza dengan sekarang, gambaran jelas keadaan di Tanah Suci membolehkan saya membuat persediaan awal dan rapi untuk menjalani ibadah haji musim ini.

“Saya juga sangat bersyukur kerana dijemput Allah SWT untuk ke Tanah Suci bersama isteri, Siti Azizah Md Jawi, 55, yang sudah menjadi impian saya sejak dulu lagi,” katanya ketika ditemui di Kompleks Tabung Haji di sini, semalam.

Beliau turut menyifatkan persediaan mental dan fizikal adalah penting bagi jemaah haji supaya dapat menjalani ibadah dengan sempurna.

Menurutnya, setelah mendapat surat pengesahan bagi mengerjakan ibadah haji pada musim ini, dia dan isteri melakukan senaman ringan di samping menambah pengetahuan mengenai rukun Islam ke lima itu.

“Kebiasaannya, saya dan isteri akan melakukan senaman dan berjoging di sekitar kawasan tempat letak kereta Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh kerana jarak kediaman kami dekat dengan lapangan itu.

“Hampir lima tahun juga kami menghadiri kursus haji bagi menambahkan lagi pengetahuan mengenai pelbagai perkara sepanjang mengerjakan ibadah haji,” katanya.

Menurutnya, kemudahan yang disediakan untuk ke Tanah Suci dan pembangunan di Makkah banyak membantu jemaah haji yang semakin bertambah setiap tahun.

“Sekarang ini jemaah tidak lagi perlu berasak-asak untuk membuat lontaran Jamrah kerana kerajaan Makkah menyediakan tempat melontar bertingkat.

“Manakala di Masjidil Haram, jemaah dapat mengambil wuduk dan air zam-zam dengan mudah kerana terdapat paip yang telah disediakan,” katanya berhubung kemudahan mengerjakan haji sekarang.

Disiarkan pada: August 25, 2015 @ 10:17am
d