mutakhir

Langkah pembaharuan beri ruang meskipun tak popular

Putrajaya: Beberapa langkah pembaharuan yang diambil kerajaan sebelum ini mengukuhkan kedudukan ekonomi negara berbanding ketika berdepan krisis kewangan Asia pada 1997.

Sambil memberi jaminan rakyat tidak akan terbeban dengan ketidaktentuan ekonomi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, antara pembaharuan berkenaan termasuk Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang bertujuan mengurangkan kadar defisit fiskal negara.

Berikutan itu, katanya, defisit fiskal berjaya diturunkan setiap tahun sejak 2009 yang ketika itu pada kadar 6.7 peratus dan menjelang akhir tahun kadar berkenaan dijangka mencecah 3.2 peratus.

“Maknanya secara konsisten pembaharuan mesti diteruskan walaupun menyakitkan dan tidak popular, tetapi lambat laun rakyat sedar pembaharuan itulah yang memberikan kita latitud (ruang) bila berdepan keadaan yang muram dan tidak menentu ketika ini.

“Cuba bayangkan hari ini kalau defisit fiskal negara 6.7 peratus, sudah tentu pilihan polisi kita agak terhad...kalau kita tidak mengurangkan subsidi minyak umpamanya kita terpaksa mengeluarkan belanja RM20 bilion setahun untuk menanggung subsidi pukal, sudah tentu ini menambah beban kewangan negara.

“Kalau kita tidak memulakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) umpamanya, walaupun ia tidak popular (ketika) harga minyak merudum sekurang-kurangnya boleh ditampung dengan tambahan hasil GST, dan GST ini saya dah janji akan dipulangkan balik kepada rakyat, tunggulah belanjawan negara nanti kita huraikan apa perbelanjaan tambahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Perbendaharaan 2014, di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan kedua-dua timbalannya Datuk Johari Abdul Ghani serta Datuk Chua Tee Yong dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Seramai 65 pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan menerima anugerah pada majlis itu.

Najib berkata, kerajaan sedang memberi tumpuan kepada faktor boleh dikawal untuk menangani keadaan ekonomi negara ketika ini.

Sehubungan itu, katanya, satu jawatankuasa khas dipengerusikan Ketua Setiausaha Perbendaharaan ditubuhkan bagi memantau dan mencadangkan kepada kerajaan langkah tambahan untuk menstabil keadaan ekonomi negara.

“Percayalah kerajaan akan bertindak sedaya upaya dan kita harap fenomena ini akan dapat kita bendung tidak lama lagi.

“Walaupun faktor luaran berada di luar kawalan, (namun) kita cuba jamin rakyat tidak akan terlalu terbeban dengan apa yang berlaku ketika ini,” katanya.

Sementara itu, Dr Mohd Irwan berkata, faktor penyusutan nilai ringgit didorong banyak faktor luaran termasuk pengukuhan nilai dolar itu sendiri dan spekulasi kerajaan Amerika Syarikat ingin mengumumkan kadar faedah baru.

Katanya, spekulasi inilah yang menyebabkan keadaan tidak menentu, selain pertumbuhan ekonomi di China yang perlahan dan penurunan mata wang Yuan.

Disiarkan pada: August 26, 2015 @ 9:48am
d