mutakhir

Jana pertumbuhan berterusan

Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: “Kerajaan akan mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Khas Ekonomi bagi memastikan momentum pertumbuhan ekonomi negara berterusan bagi mendepani cabaran kegawatan ekonomi global,” kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, pertumbuhan ekonomi negara yang kukuh sejak 2008 dipastikan terus berkekalan bagi menjana kemakmuran dan kualiti hidup lebih baik untuk rakyat Malaysia.

Beliau sedar dengan situasi ekonomi domestik dan global di samping sentimen kewangan ketika ini.

“Saya dari semasa ke semasa menerima maklumat terkini berkaitan ekonomi negara dan global melalui gabenor bank pusat, selain pakar serta penganalisis ekonomi dalam dan luar negara.

“Butiran jawatankuasa berkenaan diumumkan tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Persidangan Cukai Kebangsaan 2015 (NTC 2015), di sini, semalam.

Najib yang juga Menteri Kewangan menegaskan bahawa asas ekonomi negara kekal kukuh dengan mencatatkan pertumbuhan 4.9 peratus pada suku kedua 2015.

Kata beliau, untuk mengukuhkan pertumbuhan itu, kerajaan mempelbagaikan sumber pendapatan.

Selain itu, ekonomi negara turut terus mencatatkan lebihan dagangan.

“Situasi pasaran buruh juga stabil dengan kadar pengangguran 3.1 peratus sehingga Mei lalu dan inflasi masih kekal rendah.

“Pertemuan ini diteruskan dalam beberapa minggu akan datang,” katanya.

Sementara itu, Najib yakin Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mampu mencapai sasaran kutipan hasil cukai RM871 bilion dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

“Berdasarkan rekod cemerlang, saya yakin LHDN memenuhi sasaran,” katanya.

Beliau berkata, LHDN mencatatkan rekod baru sejak empat tahun lalu iaitu dari RM110 bilion pada 2011 kepada RM125 bilion pada 2012, RM129 bilion pada 2013 dan RM134 bilion pada 2014.

Disiarkan pada: August 26, 2015 @ 10:10am
d