mutakhir

'Hanya mahu bantu bukan cipta nama'

Alor Setar: “Saya sedih apabila ada pihak sanggup memburukkan imej saya sedangkan niat saya hanyalah untuk membantu pembangunan atlet di negeri ini tanpa niat mencipta nama atau bermegah,” kata Firdaus Abd Razak selepas ditohmah pihak tertentu di Facebook (FB) kononnya bekas atlet angkat berat negara itu tidak melunaskan tajaan berjumlah RM280,000 kepada Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Firdaus, 28, yang mengusahakan pusat gimnasium, di sini, berkata, dia terkejut apabila ada pihak cuba menafikan tajaannya yang menyediakan kemudahan kecergasan dan fisioterapi kepada pemain bola sepak Kedah sepanjang musim Liga Perdana, baru-baru ini.

“Saya risau jika individu itu mempunyai niat tersembunyi yang tidak baik dan keadaan ini secara tidak langsung menjejaskan reputasi saya sebagai usahawan sukan dan bekas atlet negara.

“Kenyataan tidak benar di FB itu disedari jam 7 malam semalam (kelmarin), dan saya menerima pelbagai maklum balas dan menimbulkan bermacam-macam spekulasi terutama dalam kalangan peminat sukan angkat berat negeri.

“Sebenarnya tajaan itu adalah untuk perkhidmatan kecergasan dan fisioterapi kepada pemain bola sepak negeri di gimnasium milik saya dan mereka boleh memilih masa yang sesuai untuk berlatih di situ,” katanya pada sidang media di Majlis Sukan Kedah (MSN) di Stadium Suka Menanti, di sini, semalam.

Disiarkan pada: August 27, 2015 @ 9:44am
d