mutakhir

Kau separuh aku separuh

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

Sandakan: “Saya tertarik dengan satu iklan di laman sosial mengenai pengeluaran caruman wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam tempoh singkat. Bagaimanapun, saya membatalkan hasrat itu apabila pemilik akaun terbabit meminta bayaran yang tidak masuk akal,” kata seorang lelaki yang hampir terpedaya dengan helah individu cuba mengaut keuntungan mudah dengan menjadi orang tengah.

Lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Zain, 40, berkata, iklan berkenaan mula disebarkan sejak beberapa minggu lalu menyebabkan orang ramai mudah terpengaruh.

“Mengikut promosi yang diiklankan, pemilik akaun itu mendakwa proses mengeluarkan caruman hanya mengambil masa seminggu.

“Selepas dihubungi, saya terkejut apabila diberitahu dikenakan bayaran separuh daripada pengeluaran menyebabkan saya membatalkan hasrat ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Zain berkata, pemilik akaun itu dikatakan giat menjalankan promosi ‘membantu’ orang ramai mengeluarkan wang caruman KWSP di sekitar daerah itu sejak tiga minggu lalu.

“Sebelum itu, saya menyangkakan iklan ini disiarkan KWSP dan individu terbabit adalah kakitangan yang memberi bantuan kepada orang ramai untuk tujuan pengeluaran.

“Akhirnya saya mendapati individu ini cuma orang tengah yang menjalankan khidmat berdasarkan keuntungan,” katanya.

Menurut Zain, selepas berhubung dengan individu terbabit, dia menghubungi Ibu Pejabat KWSP untuk mendapatkan kepastian.

“Saya dinasihatkan tidak menggunakan perkhidmatan orang tengah kerana maklumat peribadi akan terdedah.

“Kakitangan itu menasihati saya supaya terus ke kaunter KWSP untuk membuat sebarang permohonan berkaitan wang caruman,” katanya.

Katanya, KWSP juga memaklumkan akan menyiasat perkara itu sebelum sebarang tindakan susulan diambil terhadap individu berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) KWSP Datuk Mohd Naim Daruwish berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kehadiran orang tengah yang mempromosikan perkhidmatan mereka di laman sesawang.

“Modus operandi pihak ketiga atau ejen yang menawarkan perkhidmatan pengeluaran caruman KWSP melalui iklan dalam talian (online) seperti e-mel, laman sosial dan risalah diedar dari rumah ke rumah adalah meragukan.

“Kebanyakan iklan ditawarkan membabitkan permohonan pengeluaran pendidikan, kesihatan dan kes hilang upaya,” katanya.

Mohd Naim berkata, kemungkinan perkhidmatan itu turut didalangi sindiket yang cuba melakukan penipuan pengeluaran.

“Ini satu kesalahan serius dan pencarum yang didapati bersalah boleh dikenakan denda selain hilang hak untuk membuat pengeluaran.

“Pada 12 Ogos lalu, tujuh pencarum KWSP didenda selepas didapati terbabit dalam penipuan pengeluaran oleh mahkamah,” katanya.

Menurut Mohd Naim, mereka didakwa mengikut Seksyen 59 Akta KWSP 1991 yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM500 atau penjara maksimum tiga tahun.

“Sekiranya didapati bersalah, pencarum bukan sahaja boleh didenda atau dipenjara, malah perlu membayar semula pengeluaran simpanan yang dikeluarkan secara penipuan,” katanya.

Disiarkan pada: August 27, 2015 @ 9:51am
d