mutakhir

Hilang nyawa elak serpihan tar

Oleh Mohd Hanafis Abdul Haris

Batu Pahat: Tindakan seorang lelaki mengelak serpihan batu tar yang baru ditaburkan di tepi jalan mengundang padah apabila dia bersama seorang lagi rakannya maut dalam kemalangan di Kilometer 99, Jalan Ayer Hitam-Yong Peng, kelmarin.

Kejadian jam 8 malam itu mengakibatkan pemandu, Mohd Rizal Mohd Radin, 35, dan rakannya, Lim Tong Hain, 62, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah pada bahagian kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika kedua-dua mangsa yang menaiki kenderaan jenis Proton Saga dalam perjalanan dari Ayer Hitam ke Yong Peng.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai cuba mengelak serpihan batu tar yang baru ditaburkan di tepi jalan berkenaan.

“Bagaimanapun, mangsa dikatakan hilang kawalan lalu terbabas ke arah bertentangan sebelum merempuh sebuah lagi kenderaan jenis Toyota Hilux dipandu seorang lelaki berusia 28 tahun.

“Rempuhan antara dua kenderaan itu mengakibatkan kedua-dua mereka mengalami kecederaan parah di badan dan kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail manakala pemandu Toyota Hilux yang mengalami kecederaan ringan turut dihantar ke hospital sama.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: August 27, 2015 @ 10:02am
d