mutakhir

Beli tapak kampung

Oleh Mohd Hilmi Mahmud

Georgetown: Nasib lebih 300 penduduk Kampung Mutiara di Batu Ferringhi, dekat sini, bakal terbela apabila Ketua Bahagian UMNO Bukit Bendera Datuk Ahmad Ismail mengadakan pertemuan dengan pelbagai agensi di Putrajaya bagi membincangkan alternatif yang boleh diambil untuk membantu mereka, semalam.

Ahmad berkata, pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan agensi perumahan kerajaan Pusat, JKP Sdn Bhd bagi menyelesaikan masalah penduduk Kampung Mutiara menerusi kaedah pembelian tapak penempatan berkenaan.

“Kami sudah bertemu JKP Sdn Bhd menerusi wakilnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong Muhammad Farid Saad dan setakat ini maklum balas diterima adalah positif.

“UMNO Bahagian Bukit Bendera akan sentiasa berusaha pelbagai cara bagi memastikan penduduk tidak diusir dari kampung yang sudah wujud sejak 50 tahun itu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Beliau berkata, UMNO Bahagian Bukit Bendera turut membuat temu janji bersama Timbalan Pengerusi Khazanah Nasional Bhd Tan Sri Nor Mohamed Yakcop pada minggu hadapan untuk membincangkan penyelesaian isu pemilikan tanah Kampung Mutiara.

Menurutnya, perbincangan akan menjurus mengenai cadangan agar syarikat pelaburan kerajaan itu atau syarikat lain di bawahnya membeli tapak penempatan terbabit.

“Saya tidak melihat ada cara lain selain pembelian tanah untuk menyelamatkan kampung itu. Justeru, saya harap mereka dapat membantu membela nasib 66 keluarga penduduk Kampung Mutiara,” katanya.

Isnin lalu, penduduk kampung berjaya mendapatkan notis penangguhan pengusiran yang dikeluarkan mahkamah bulan lalu, selepas campur tangan UMNO Bukit Bendera, peguam, polis serta kerajaan negeri.

Bagaimanapun sehingga kini, tiada kata putus mengenai status tanah seluas 1.4 hektar yang dimiliki seorang usahawan dari Petaling Jaya, Selangor itu.

Disiarkan pada: August 27, 2015 @ 10:06am
d