mutakhir

'Perbuatan tidak bertamadun'

Kuala Lumpur: Gara-gara mengugut seorang akauntan supaya membayar keretanya yang tercalar, jurulatih tenis sambilan dijatuhi hukuman penjara empat hari dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Majistret Ashraf Rezal Abdul Manan menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Shahzadi Shariff, 22, selepas mengaku bersalah melakukan peras ugut terhadap Ong Chen Giap, 28, supaya mangsa memberikannya wang RM1,000 sebagai bayaran kerosakan kereta Perodua Kancilnya yang bergesel dengan kereta Toyota Velfire mangsa.

Ashraf memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 23 Ogos lalu dan sekiranya gagal membayar denda dia boleh dipenjarakan dua bulan.

Beliau berkata mahkamah menjatuhkan hukuman penjara kerana kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah ancaman kepada masyarakat.

“Perbuatan kamu langsung tidak bertamadun. Kereta kena langgar, jangan bergaduh...insurans kan ada. Jadikan ini sebagai iktibar,” kata Ashraf Rezal selepas menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh.

Menurut fakta kes, selepas kenderaan mereka bergesel yang mengakibatkan sedikit calar di kereta tertuduh, tertuduh bertindak agresif dengan memegang sebatang kayu dan mengarah mangsa keluar dari keretanya. - BERNAMA

Disiarkan pada: August 27, 2015 @ 10:16am
d