mutakhir

Doktor boleh dibuang kerja

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Putrajaya: Doktor yang merakam gambar pesakit wanita ketika menerima rawatan di sebuah hospital di Johor Bharu, Johor berkemungkinan boleh dikenakan tindakan tegas termasuk ditamatkan perkhidmatan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramanim berkata, tindakan undang-undang yang sepatutnya terhadap doktor terbabit hanya boleh diputuskan oleh jawatankuasa khas selepas mereka selesai melakukan siasatan berhubung perkara itu.

Menurutnya, pihaknya sudah beberapa kali mengeluarkan kenyataan kepada profesional, doktor dan jururawat, mereka mempunyai satu tanggungjawab ketika menjalankan perkhidmatan dan etika itu perlu dipatuhi.

“Sekiranya mereka melakukan sesuatu di luar perkara itu misalnya menguar-uarkannya menerusi media sosial, mereka boleh berhadapan tindakan sewajarnya dalam sistem perkhidmatan awam.

“Mereka sudah belajar lama iaitu lima ke enam tahun, belanja ribuan ringgit namun, akibat daripada satu perkara ini ada kemungkinan mereka hilang masa depan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta untuk mengulas mengenai penyebaran sekeping gambar di laman sosial yang memaparkan seorang doktor wanita menunjukkan isyarat ‘peace’ ketika sedang berada dengan seorang pesakit yang dipercayai mahu bersalin.

Perbuatan berkenaan ternyata mengundang kemarahan orang ramai terutamanya pengguna laman sosial yang turut mengecam tindakan doktor berkenaan seperti tidak beretika ketika menjalankan tugas.

Pada masa sama, Dr Subramaniam berkata, doktor wanita terbabit masih muda dan berada dalam perkhidmatan kurang daripada lima tahun.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan usia doktor wanita terbabit ketika ditanya pihak media.

Dalam pada itu, Dr Subramaniam turut memberi amaran kepada pihak profesional dalam bidang perkhidmatan perubatan, doktor serta jururawat supaya tidak melakukan perbuatan seumpama itu.

Disiarkan pada: August 27, 2015 @ 10:27am
d