mutakhir

Kepemimpinan sentiasa diuji

Putrajaya: “Apa juga masalah yang berlaku dalam kepemimpinan adalah lumrah dalam mana-mana parti, malah ia dihadapi oleh semua pemimpin parti politik di negara ini,” kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pemimpin parti sentiasa diuji, malah ia adalah dugaan untuk melihat sejauh mana daya tahan dan daya saing pemimpin berkenaan.

“Bagaimanapun, ujian dihadapi pemimpin terdahulu dan sekarang masing-masing berbeza. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga berdepan dengan ujian sama. Namun, kita sebagai ahli UMNO boleh berbeza pendapat tapi mesti kembali kepada saf, namun, perbezaan pendapat harus diraikan dengan ketertiban, kebijaksanaan dan tidak dilakukan secara semberono.

“Ini putaran hayat dalam UMNO. Kita melihat parti Melayu lain pun wujud masalah, malah PAS pun berdepan masalah dengan wujudkan serpihan seperti Gerakan Harapan Baru (GHB),” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Putrajaya di sini, semalam.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau berkata, UMNO sendiri istimewa kerana ada latar belakang yang kukuh kerana ia institusi sosial orang Melayu selain parti utama orang Melayu.

Disiarkan pada: August 27, 2015 @ 10:34am
d