mutakhir

Dorongan tak tahan beratur beli santan

Alor Gajah: Rasa geram kerana terpaksa beratur panjang selama sejam hanya untuk membeli santan mendorong seorang pesara tentera mengusahakan perniagaan menjual bahan masakan berkenaan.

Menceritakan kisah yang berlaku 10 tahun lalu, Zaharuddin Dahil, 59, berkata, dia pergi ke Pasar Masjid Tanah di sini, untuk membeli tiga kilogram (kg) santan untuk digunakan bagi memasak rendang ayam dan daging, sehari sebelum Aidilfitri.

“Setiap kali tiba musim perayaan, saya perlu menunggu sehingga sejam untuk membeli santan. Saya nekad memulakan perniagaan menjual santan dan sebagai permulaan, saya mengeluarkan modal RM12,000 bagi membeli mesin memarut kelapa serta memerah santan.

“Saya memulakan perusahaan memproses santan di rumah saya di Kampung Padang Dekat, Pengkalan Balak. Kini, saya mampu menjual sehingga 60 kg santan sehari dan permintaannya meningkat sehingga 120 kg pada pada hujung minggu atau musim cuti persekolahan.

“Saya juga membekalkan santan untuk memenuhi keperluan majlis perkahwinan dan jumlah tempahan diterima antara 25 hingga 30 kg santan bagi setiap rumah,” katanya.

Menurut Zaharuddin, dia mendapatkan bekalan kelapa daripada pembekal di Merlimau.

Bagi menghasilkan satu kilogram santan, bekas anggota Batalion Ke-5 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) itu biasanya menggunakan enam kelapa.

“Saya dibantu enam anak berusia 19 hingga 38 tahun untuk memenuhi tempahan pelanggan. Selain menjual santan pada harga RM8 sekilogram, Zaharuddin menghasilkan santan yang siap dibungkus seberat 250 gram dan dijual pada harga RM1.60 sebungkus kepada pekedai sekitar Pengkalan Balak.

“Jika diizinkan Allah SWT, saya akan membeli seunit lagi mesin parut dan perah santan bagi mengembangkan perniagaan,” katanya.

Disiarkan pada: August 28, 2015 @ 7:24am
d