mutakhir

Bentuk Jalur Gemilang guna 400 botol

Putrajaya: Bagi menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan, penduduk di sekitar Presint 8, di sini, mengambil inisiatif membentuk Jalur Gemilang menggunakan lebih 400 botol minuman terpakai yang diletakkan di tepi laluan pejalan kaki berhampiran kediaman mereka.

Pengerusi Rukun Tetangga dan Pengerusi Persatuan Penduduk Jalan P9B/8 Safian Md Salleh, 55, berkata, botol berkenaan dikumpul sejak akhir bulan lalu untuk merealisasikan hasrat mereka membentuk Jalur Gemilang.

Menurutnya, selepas dikumpulkan semua botol itu dicat dengan empat warna pada Jalur Gemilang iaitu putih, biru, kuning dan merah.

“Kita menggantung 250 bendera bersaiz sederhana di setiap kawasan dan rumah, selain meletakkan sebuah pondok yang dibuat sendiri oleh penduduk bagi mewujudkan suasana tradisi kampung di sini.

“Walaupun aktiviti menghias laman memakan masa tiga jam setiap hari bermula 10 malam sehingga 1 pagi, penduduk tetap memberi kerjasama terbaik,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Safian berkata, penduduk juga memberi sumbangan RM1,200 bagi membeli perkakas yang diperlukan.

“Kami berharap dengan keazaman dan kesungguhan yang ditunjukkan ini dapat menyemarakkan lagi perasaan patriotik dalam kalangan penduduk setempat terutama generasi muda,” katanya.

Disiarkan pada: August 28, 2015 @ 9:46am
d