mutakhir

Jaga tingkah laku pada hari wukuf

Makkah: Jemaah haji Malaysia dinasihatkan menjaga tingkah laku bagi mengelakkan daripada melakukan perkara khurafat dan bidaah pada hari wukuf di Arafah.

Pengarah Operasi (Bimbingan) Tabung Haji Tengku Abdul Aziz Raja Abdullah berkata, hari wukuf sangat penting dalam ibadat haji.

Beliau berkata, hari wukuf berlaku hanya sekali dalam setahun, iaitu bermula tergelincir matahari (masuknya waktu Zohor) pada 9 Zulhijjah sehingga terbitnya fajar waktu Subuh pada 10 Zulhijjah.

Menurutnya, apa yang perlu dijaga oleh jemaah haji ketika di padang Arafah ialah kelakuan, perbuatan dan tingkah laku mereka.

“Antara perkara khurafat yang dilakukan jemaah haji ketika melakukan wukuf ialah mengambil tali khemah, mengambil kerak nasi dan menanam duit sebagai ibu duit.

“Sebaik-baiknya jemaah haji perlu menggunakan kesempatan berkenaan untuk terus berdoa.

“Semulia-mulia doa ialah pada hari wukuf di Arafah, pada masa ini kita boleh minta kepada Allah dan merayu apa saja kita mahu sama ada untuk kebaikan kita, keluarga, anak, umat, negara dan akhirat,” katanya ketika ditemui.

Selain itu, katanya, jemaah haji juga diingatkan tidak melakukan perkara khurafat ketika pergi ke Jabal Ramah yang berada di tengah padang Arafah.

“Rasulullah sendiri tidak naik ke bukit berkenaan dan bersembahyang di atas bukit itu.

“Cuma kita pergi untuk melihat bukit dan pemandangan kawasan wukuf di sekitar Arafah. Bukan naik untuk buat amalan,” katanya.

Disiarkan pada: August 28, 2015 @ 9:50am
d