mutakhir

Bapa tunjuk anu didenda

Seremban: Seorang bapa tiga anak didenda RM2,700 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam di atas pertuduhan menunjukkan kemaluan kepada murid sekolah, minggu lalu.

Tertuduh, Zolkipli Juhari, 54, yang memakai baju lokap jingga membuat pengakuan terbabit sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di depan Majistret Alau’ddin Baharom.

Alau’ddin turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Mengikut kertas pertuduhan, Zolkipli didakwa dengan sengaja melakukan perbuatan tidak senonoh dengan cara menunjukkan kemaluannya kepada dua murid perempuan berusia 12 tahun di depan sebuah sekolah kebangsaan di Jalan Seremban-Kuala Pilah di sini, jam 7 pagi, 21 Ogos lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara hingga lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, dua murid tahun enam sekolah itu berjumpa guru disiplin memaklumkan seorang lelaki yang bermotosikal menunjukkan kemaluannya di depan sekolah.

Tertuduh yang diwakili Ardelliza Izmayanti Shafie merayu kepada mahkamah meringankan hukuman kerana insaf dan sudah menerima balasan dibuang kerja selepas ditahan.

Disiarkan pada: August 28, 2015 @ 9:57am
d