mutakhir

Jatuh 30m bersama kren

Petaling Jaya: Seorang pemandu kren masih bernyawa walaupun tercampak bersama kren ke tingkat bawah bangunan setinggi 30 meter.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi semalam, tapak kren berkenaan dipercayai gagal mengimbangi berat bebanan menyebabkan kren itu runtuh di sebuah pusat pembinaan berhampiran Sri Pentas, Bandar Utama di sini.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, mangsa berusia 30-an warga Indonesia itu tersepit di dalam kabin pengendali kren sebelum dikeluarkan anggota bomba dan penyelamat di lokasi kejadian.

Menurutnya, mangsa dikeluarkan dalam tempoh masa 10 minit selepas pasukan bomba tiba di lokasi kejadian.

“Mangsa cedera di kepala, tangan dan kaki sebelum diserahkan kepada anggota paramedik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) yang tiba di lokasi kejadian untuk mendapatkan rawatan,” katanya, di sini, semalam.

Sementara itu pihak Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) mengesahkan insiden runtuhan kren itu tidak ada kaitan dengan pembinaan MRT.

Pengarah Bahagian Operasi dan Pengurusan Aset MRT Corp Mahmood Abdul Razak berkata, kontraktor dan MMC-Gamuda KVMRT (PDP) Sdn Bhd mengesahkan kepada pihaknya kejadian berlaku berhampiran pusat pembinaan stesen Bandar Utama.

Disiarkan pada: August 28, 2015 @ 10:06am
d