mutakhir

Tak terdetik soal warna kulit

Oleh Nur Lela Zulkipli

Petaling Jaya: Perasaan terharu melihat anak murid berbangsa Cina bertutur dalam bahasa Malaysia menjadikan Mohammad Izaham Mohammad Noor, 37, terus bersemangat untuk mengajar di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Yuk Chai, di sini, sejak 16 tahun lalu.

Mohammad Izaham yang mengajar subjek Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris itu tidak kekok berada dalam kalangan murid berbangsa Cina, malah berupaya menjadikan anak didiknya bergaul dengan bangsa lain sewaktu menghadiri program di luar sekolah.

Menurut Mohammad Izaham, dia seolah-olah tidak percaya apabila dapat menyesuaikan diri di sekolah berkenaan dalam tempoh singkat kerana persepsi pertamanya adalah pasti sukar untuk berkomunikasi dengan murid berbangsa Cina apalagi perlu mengajar mereka subjek bahasa Malaysia.

“Walaupun tiada asas dalam bahasa Cina, Alhamdullilah saya tiada masalah untuk berkomunikasi dan mengajar kerana murid dan guru berbangsa Cina banyak membantu supaya saya mudah memahami kehendak murid.

“Lama-kelamaan, saya sudah boleh mula bertutur dalam bahasa Cina dan murid suka apabila saya bercakap dalam bahasa ibunda mereka biarpun ada sedikit kesalahan kerana bagi mereka saya berusaha untuk mendalami budaya mereka,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya

Disiarkan pada: August 28, 2015 @ 10:15am
d