mutakhir

Jangan mudah terpengaruh

Parit Buntar: Polis menasihatkan ibu bapa supaya tidak terpengaruh dengan berita kes penculikan kanak-kanak menggunakan van putih yang tersebar di media sosial sebaliknya merujuk kepada pihak berkuasa jika ada aktiviti mencurigakan di kawasan kediaman mereka.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kerian Deputi Superintendan Mohd Radzuan Bachik berkata, dalam kejadian Rabu lalu, seorang kanak-kanak berusia 11 tahun mendakwa nyaris menjadi mangsa culik seorang penunggang motosikal di Taman Desa Aman antara jam 8 malam hingga 8.30 malam.

Beliau berkata, siasatan polis bagaimanapun mendapati tiada unsur jenayah sebaliknya mangsa takut dan melarikan diri sebaik dihampiri lelaki yang mahu bertanyakan arah jalan.

“Saya melihat kecenderungan masyarakat menyebarkan berita kes penculikan kanak-kanak seperti kononnya ada van putih ‘memburu’ murid sekolah di laman sosial sedangkan kesahihan berita itu meragukan.

“Justeru, saya ingin menasihatkan orang ramai supaya jangan terima bulat-bulat sebarang maklumat melalui laman sosial, sebaliknya rujuk kepada polis terlebih dulu untuk pengesahan,” katanya di sini, semalam.

Dalam kejadian Rabu lalu, seorang wanita membuat laporan polis di Balai Polis Simpang 5, di sini, selepas anaknya pulang ke rumah sambil menangis teresak-esak dengan mendakwa hampir diculik.

Disiarkan pada: August 29, 2015 @ 5:16am
d