mutakhir

Jiwa tak gentar

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

Kuantan: Pengalaman membunuh dua pengganas komunis masih tersimpan kemas di kotak fikiran walaupun usianya kini hampir mencecah satu abad.

Bagi bekas anggota pasukan keselamatan Home Guard, Abdul Rani Long, 89, dari Ulu Telang, Kuala Lipis, berdepan dengan komunis tidak sedikit pun menimbulkan rasa gentar, malah dia sanggup mempertaruhkan nyawa demi mempertahankan negara daripada cengkaman pengganas.

Menyingkap peristiwa itu, Abdul Rani berkata, pihaknya mendapat maklumat mengenai komunis bersembunyi di perkampungan Orang Asli di Ulu Telang.

Katanya, komunis mempergunakan Orang Asli untuk membeli makanan serta keperluan lain bagi mengelak kehadiran mereka dihidu penduduk kampung dan pihak berkuasa.

“Saya dan rakan lain menyelinap masuk ke perkampungan berkenaan dan dapat melihat pengganas sedang berehat di atas para rumah seorang penduduk.

“Kehadiran kami dapat dihidu dan mereka mula melepaskan tembakan ke arah kami. Adegan berbalas tembakan berlaku selama beberapa minit dan saya berjaya menembak mati dua komunis,” katanya.

Katanya, walaupun jumlah komunis berkenaan lebih ramai berbanding pasukan keselamatan, namun pihaknya berjaya menumpaskan mereka tanpa ada seorang pun rakannya terbunuh atau cedera.

“Kami diajar cara untuk menyelamatkan diri selain arif dengan kawasan kampung, ia sedikit sebanyak membantu kami mengelak daripada terkena tembakan.

“Walaupun kenangan itu lebih 60 tahun berlalu, namun ia masih tersimpan kemas dalam sanubari saya dan menjadi kenangan yang sering saya ceritakan kepada anak cucu,” katanya yang mempunyai sembilan anak, 30 cucu dan 15 cicit.

Penat jerihnya mempertahankan kedaulatan negara akhirnya mendapat pengiktirafan apabila dikurniakan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) yang disampaikan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah dalam satu majlis di sini, Khamis lalu.

Abdul Rani berkata, perjuangan menentang komunis serta pengorbanannya bersama rakan lain sudah terbayar melalui keamanan negara yang dikecapi generasi kini.

Menurutnya, bagaimanapun dia sedikit terkilan dan sedih apabila ada generasi kini seolah lupa dengan nikmat keamanan dan kemerdekaan dikecapi negara, malah orang Melayu sendiri dilihat semakin berpecah.

“Generasi dulu setiap kali sambutan ulang tahun kemerdekaan negara, semangat kami sentiasa berkobar-kobar untuk turut sama mengenang kembali sejarah perjuangan rakan termasuk yang gugur mempertahankan tanah air,” katanya.

Disiarkan pada: August 29, 2015 @ 5:19am
d