mutakhir

Tiada lokasi sesuai kerana bersimpang

Sepang: Pembinaan pondok menunggu bas di hadapan Masjid Jamaeatus Solehah di Pekan Dengkil, dekat sini, terutama bagi kegunaan pengguna yang mahu ke arah Banting adalah tidak sesuai.

Pengarah Jabatan Kawalan Bangunan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Sulaiman Abi Hashim berkata, ia kerana kawasan berkenaan berdekatan dengan laluan bersimpang, sekali gus akan menimbulkan kesukaran kepada pengguna lain.

“Kita mengambil kira faktor keselamatan pengguna jalan raya memandangkan kawasan di hadapan masjid terdapat banyak simpang selain stesen minyak di sini yang turut mempunyai simpang.

“Justeru, pembinaan pondok menunggu bas di situ adalah tidak sesuai serta tidak selamat,” katanya ketika dihubungi.

Berikutan itu, beliau berkata, pengguna pengangkutan awam bas perlu berjalan kaki beberapa meter memandangkan terdapat pondok menunggu bas di tempat itu.

Menurut beliau, pihaknya sedia maklum mengenai masalah daripada pengguna, tetapi MPSepang perlu mengambil kira beberapa faktor lain untuk kepentingan bersama.

Disiarkan pada: August 30, 2015 @ 5:11am
d