mutakhir

PKP TH atasi masalah jemaah

Makkah: Jemaah haji Malaysia memuji usaha Tabung Haji (TH) menyediakan Pusat Khidmat Pelanggan (PKP) yang dianggap berkesan menyelesaikan masalah dihadapi mereka.

Masalah berkaitan kunci bilik, bilik penginapan sehinggalah kehilangan lencana pengenalan diri yang diajukan di kaunter berkenaan diselesaikan petugas dengan cekap.

Jemaah haji Abdullah Sani, 66, berkata, dengan adanya kaunter berkenaan ia memudahkan jemaah haji merujuk masalah dihadapi di sini.

Beliau yang menunaikan haji bersama isterinya memuji langkah TH menyediakan khidmat Unit Peronda TH kerana ia memudahkan jemaah haji jika tersasar dari laluan.

“Saya rasa dengan adanya unit peronda ia membantu jemaah kita terutama bagi mereka yang belum biasa dengan laluan di sini,” katanya.

Bagi Mastor Marjuni, 69, layanan diberikan petugas di kaunter PKP juga mesra walaupun mereka berdepan pelbagai kerenah jemaah.

“Setakat ini saya puas hati berurusan dengan petugas haji walaupun tidak berdepan dengan masalah merumitkan di sini,” katanya.

Sementara itu, Rahanaini Mansor pula berkata, dia mendapatkan maklumat berkaitan kakak iparnya yang turut menunaikan haji dengan bantuan petugas di kaunter berkenaan.

“Alhamdulillah, saya yang baru tiba di sini mendapatkan khidmat petugas di kaunter berkenaan berhubung bilik kakak ipar saya dan syukur sudah tahu di mana dia berada,” katanya.

Disiarkan pada: August 30, 2015 @ 5:12am
d