mutakhir

Anda dah kibar Jalur Gemilang?

Seorang teman menulis di dinding Facebooknya ‘Alhamdulillah saya dah tunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia. Anda bagaimana?’

Di bawahnya tertera gambar sehelai Jalur Gemilang diikat pada sebatang kayu yang dipacak di depan rumahnya.

Di ruang komen pula ada teman yang memuji, ada yang sekadar menekan butang ‘like’ dan tidak kurang pula yang menjadikannya sebagai bahan jenaka.

Apapun, penulis tabik dengan tindakan teman berkenaan. Walaupun hidupnya tidak senang macam teman lain, malah mempunyai seorang anak yang terlantar sakit, dia masih bersemangat sebagai seorang warga yang tahu bersyukur.

Bukan saja penulis, mungkin ramai pembaca sedar ulang tahun kemerdekaan tahun ini sedikit hambar berikutan tidak banyak kelihatan Jalur Gemilang berkibar.

Selain di bangunan kerajaan serta jalan utama di pusat bandar raya, premis serta kenderaan yang mengibarkan Jalur Gemilang boleh dikira dengan jari.

Jika sebelum ini banyak kenderaan di jalan raya dipenuhi bendera kecil namun kali ini agak sukar untuk menemuinya di mana-mana.

Lantas penulis teringat ketika bertandang ke kawasan pedalaman di Indonesia tidak lama dulu.

Kebetulan ketika itu negara jiran berkenaan beberapa hari lagi akan meraikan ulang tahun kemerdekaan mereka.

Apa yang menarik perhatian ialah ketika penulis melalui satu kawasan teres sawah padi yang mana dipenuhi dengan bendera merah putih yang menjadi kebanggaan mereka.

Malah, ketika penulis memasuki kawasan perkampungan yang agak ‘ulu’ pun bendera mereka tetap berkibar megah.

Itu kisah negara jiran. Situasinya amat kontras di sini. Kita lebih leka berpolitik dan semangat merdeka seolah-olah tidak hadir dalam diri kita.

Saban tahun bagi kebanyakan orang ulang tahun kemerdekaan mungkin tidak lebih sekadar laungan kalimah keramat ‘merdeka’ selepas detik 12 malam selain upacara perbarisan pada sebelah siangnya.

Kita sudah tidak ‘sporting’ seperti dulu lagi. Masing-masing sibuk dengan urusan sendiri sehinggakan tiada masa untuk menoleh sejenak sejarah negara.

Setiap tahun juga kita menetapkan pelbagai tema untuk sambutan Hari Kebangsaan. Namun, dapatkah kita menyelami metafora di sebalik setiap tema yang disusun dengan penuh simbolik itu?

Generasi WhatsApp dan WeChat hari ini nampaknya semakin jauh dengan semangat merdeka seperti yang dirasai datuk dan moyang mereka.

Lahir dalam suasana negara yang sudah aman dan makmur menyebabkan mereka kurang mengerti apa itu merdeka.

Jadi tugas siapa untuk menyedarkan mereka bahawa telefon android berharga RM2,000 yang mereka guna dan rangkaian televisyen berbayar yang mereka tonton hari ini adalah hasil keringat dan darah orang terdahulu.

Sekadar mengibarkan selembar kain di halaman rumah mungkin tidak membawa apa-apa makna buat mereka.

Dalam hal ini untuk menyalahkan generasi muda seratus peratus adalah tidak adil.

Persoalannya adakah generasi hari ini diberikan gambaran yang jelas mengenai kisah di sebalik kemerdekaan?

Badan berkaitan nampaknya perlu berusaha lebih keras supaya jangan nanti warisan kita kelak tidak lagi tahu menghargai nikmat kemerdekaan.

Penulis adalah Pengarang Berita Edisi Hujung Minggu Harian Metro

Disiarkan pada: August 30, 2015 @ 5:14am
d