mutakhir

200 jelajah 320km guna pacuan empat roda Konvoi Merdeka

Kira-kira 200 peserta Konvoi Jelajah Merdeka Sukarelawan Darul Takzim menyahut cabaran menjelajah sejauh 320 kilometer menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan motosikal scrambler sempena sambutan Hari Kebangsaan 2015, semalam.

Pegawai Belia dan Sukan Johor Bahru Ruhisyam Ibrahim berkata, peserta singgah di lima lokasi untuk melaksanakan aktiviti kemasyarakatan selain mempromosikan sambutan kemerdekaan peringkat negeri di Dataran Bandaraya Johor Bahru, pagi esok.

Beliau berkata, antara lokasi persinggahan termasuk Kampung Tiram Duku di Gelang Patah, Muzium Tokoh di Bukit Senyum, Stesen KTM Berhad (KTM) di JB Sentral, terminal pengangkutan awam Larkin Sentral dan Bangunan Sultan Ibrahim di Bukit Timbalan.

Menurutnya, peserta yang menaiki 40 kenderaan pacuan empat roda serta 70 motosikal menjalankan kerja baik pulih gelanggang futsal di Kampung Tiram Duku dan menanam pokok di situ.

“Pengalaman menyertai konvoi cukup berharga bagi kumpulan sukarelawan kerana selain menyemarakkan sambutan kemerdekaan, mereka juga mempamerkan nilai kemasyarakatan yang perlu ada di jiwa setiap rakyat demi keharmonian dan kemakmuran negara,” katanya.

Disiarkan pada: August 30, 2015 @ 5:14am
d