mutakhir

Melayu lagi ramai

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

Batu Kikir: “Saya bangga bersekolah di sini. Kami tiada masalah belajar, malah boleh bertutur bahasa Mandarin,” kata Farishah Afrina Baharudin, 12, antara murid Melayu bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chi Sin, di pekan Batu Kikir, di sini.

Sekolah itu mencipta sejarah tersendiri apabila mempunyai murid Melayu paling ramai berbanding Cina.

Rekod menunjukkan sekolah itu mempunyai 30 murid iaitu 25 murid Melayu, tiga Cina dan dua India dengan 11 tenaga pengajar diketuai guru besarnya Sin Yoke Koon.

Farishah Afrina berkata, biarpun mempunyai lapan murid tahun enam dengan enam daripadanya Melayu, ia tidak mendatangkan masalah untuknya belajar.

“Guru di sini tidak membezakan murid mengikut kaum, malah satu-satunya murid Cina Pung Shiao Yi, 12, rakan saya sejak tahun satu,” kata anak bongsu daripada lima beradik.

Katanya, budaya menghormati turut menjadi pegangan murid dan guru di sekolah terutama bulan puasa dengan memberi sokongan melaksanakan ibadah.

“Saya tidak mempunyai masalah meneruskan kehidupan sebagai orang Melayu walaupun belajar di sekolah Cina,” katanya.

Bagi Mohd Alban Hakimmy Mohd Radzau, 12, dia bersama adiknya Mohd Irfan, 10, bangga diberi peluang belajar di situ.

Katanya, ketika mula tahun satu, semuanya kelam-kabut, namun kegigihan guru membantu membolehkannya menguasai bahasa Mandarin.

“Walaupun sudah boleh bertutur bahasa Mandarin, saya tidak pernah melupakan dialek negeri,” katanya yang berharap dapat melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah aliran Cina.

Sementara itu, Sin berkata, menjadi cabaran kepada guru di sekolah ini mengajar murid Melayu terutama membolehkan mereka menguasai subjek bahasa Cina.

Katanya, guru tetap memberi komitmen sepenuhnya biarpun hampir 90 peratus murid Melayu dan tidak mengamalkan sikap pilih kaum di sekolah ini.

“Kami berazam mencatatkan kejayaan cemerlang pada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan membuktikan pelajar Melayu di sekolah ini mampu mendapat keputusan membanggakan terutama subjek bahasa Cina,” katanya.

Katanya, peratusan murid Melayu yang tinggi di sekolah berkenaan membuktikan ibu bapa menerima baik pembelajaran di SJKC.

Disiarkan pada: August 30, 2015 @ 5:16am
d