mutakhir

3 suspek Anonymous Malaysia direman

Tiga individu dipercayai terbabit dalam memuat naik klip video di laman YouTube bertajuk ‘We Will Blast Malaysia’ direman tiga hari bermula semalam bagi membantu siasatan.

Harian Metro, semalam melaporkan tiga individu terbabit ditahan secara berasingan sekitar Johor Bahru sebelum dibawa ke Balai Polis Jinjang, di sini, untuk tindakan lanjut.

Kelmarin, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim mengesahkan penahanan berkenaan dan berkata, semua mereka berusia 18 hingga 21 tahun diberkas hasil risikan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman selepas mereka mengancam menggodam sistem komputer dan laman web agensi kerajaan.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas barangan peribadi milik individu terbabit untuk siasatan lanjut. Semua mereka kini ditahan mengikut Seksyen 5 Akta Jenayah Komputer 1997 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tujuh tahun atau kedua-duanya.

Difahamkan, semua mereka yang dipercayai pelajar memuat naik video berdurasi satu minit 28 saat itu menggunakan nama Anonymous Malaysia dengan memaparkan insiden letupan bom di Bangkok Thailand baru -baru ini dan mendakwa akan membuat tindakan sama di Malaysia.

Disiarkan pada: August 30, 2015 @ 5:20am
d