mutakhir

Cipta penawar denggi guna kekwa badang

Bukit Mertajam: Siapa sangka tumbuhan yang mudah didapati di kawasan berumput dan tepi jalan mampu jadi penawar kepada penyakit demam denggi.

Lima pelajar membuktikannya apabila menjadikan tumbuhan kekwa badang sebagai penawar virus itu.

Kejayaan itu melayakkan mereka memenangi pingat emas dan Anugerah Juri Awam dalam program Student Innovation Show (SIS) 2015 di Perda City Mall, di sini, semalam.

Kumpulan berkenaan diwakili Alia Najwa Mohamad Said, Nur Afrina Abdul Khalil, Farid Irfaan Mohd Rizal, Nur Izzati Liyana Ahmad dan Nur Hamiezah Zaharan serta mendapat bimbingan daripada pensyarah UiTM, Noorzalila Muhammad.

Alia, 16, berkata, mereka sepakat menghasilkan minuman herba T-Pro yang dihasilkan dari tumbuhan berkenaan selepas sebulan membuat penyelidikan.

“Kami mengambil keputusan ini selepas melihat uji kaji dilakukan penyelidik Universiti Malaya (UM) mengenai khasiat tumbuhan itu.

“Persediaan dilakukan selama sebulan dengan bimbingan pensyarah UiTM,” katanya.

Menurutnya, mereka akan terus membuat penyelidikan dan penambahbaikan seterusnya memasarkan produk berkenaan.

Sebanyak sembilan Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan 33 sekolah menengah mengambil dalam program Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri dengan jumlah penyertaan sebanyak 104.

Disiarkan pada: August 31, 2015 @ 5:16am
d