mutakhir

Penumpang cemas tayar bas pecah

Gua Musang: Seramai 20 penumpang bas ekspres berdepan detik cemas apabila tayar belakang bas terbabit terbakar dipercayai berpunca daripada masalah brek di Kilometer 76, Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Kampung Sungai Rakit, dekat sini, semalam.

Bagaimanapun, dalam kejadian jam 3 petang itu, semua penumpang terselamat selepas pemandu sempat memberhentikan kenderaan di tepi jalan dan memadamkan kebakaran itu dengan pemadam api.

Menceritakan detik cemas itu, seorang penumpang, Muhamad Alif Ahmad, 37, berkata, ketika kejadian semua penumpang yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu sedang nyenyak tidur.

Katanya, dia terkejut selepas bas tiba-tiba berhenti secara mengejut sebelum terdengar pemandu mengarahkan semua penumpang keluar dari bas.

“Sebaik turun ke tangga bas, saya terbau hangit di bahagian belakang dan saya terkejut melihat tayar sebelah kiri di bahagian belakang bas sedang terbakar.

“Saya bersama penumpang lain kemudian menyelamatkan barang yang diletakkan di tempat barang bas berkenaan kerana bimbang api akan terus merebak,” katanya.

Hafizah Ali, 41, pula berkata, dia bersama penumpang lain terkejut selepas diberitahu tayar belakang bas terbakar.

“Mujurlah tindakan pantas pemandu bas sempat memadamkan api daripada terus merebak ke keseluruhan bas dengan menggunakan pemadam api,” katanya.

Disiarkan pada: August 31, 2015 @ 5:20am
d