mutakhir

Warga India maut ditembak enam das

Sepang: Seorang pemilik peralatan sembahyang ditemui maut tertiarap dengan kesan enam tembakan di belakang kedai serbaneka 24 jam di Putra Prima, Putra Perdana, Sepang petang semalam.

Dalam kejadian jam 1 petang, mangsa dikenali sebagai R Muthuraman, 35, yang juga warganegara India ditemui pekerjanyatidak sedarkan diri dan berlumuran darah.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, mangsa maut dengan enam kesan tembakan di belakang badan berdasarkan penemuan enam kelongsong peluru di lokasi kejadian.

Beliau berkata, sebelum kejadian, pekerja mangsa melihat mangsa berlari keluar dari premis dan rebah sebelum kedengaran bunyi tembakan.

“Siasatan mendapati isteri mangsa pernah membuat laporan polis mendakwa didatangi bekas pekerja suaminya ke premis bagi menuntut baki wang gaji.

“Bagaimanapun, isteri mangsa melunaskan tunggakan gaji bekas pekerja itu.

“Kami menyiasat punca kejadian termasuk mengambil sampel cap jari dan dekoder sistem rakaman litar tertutup (CCTV) bagi melengkapkan siasatan,” katanya.

Katanya, siasatan mendapati mangsa baru membuka premis itu sejak empat bulan lalu, selain menjadi sami upacara sembahyang di kuil dan rumah sekitar Puchong termasuk menawarkan khidmat tukang tilik.

Disiarkan pada: September 1, 2015 @ 8:57am
d