mutakhir

Persembahan 26 negara

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Kuala Lumpur: Konsert tradisional ‘Mugham’ dan Qawwali dari Azerbaijan dan Pakistan antara persembahan menanti orang ramai menerusi penganjuran DiverseCity 2015: Festival Seni Antarabangsa Kuala Lumpur 2015.

Festival mulai 1 September hingga 4 Oktober depan itu dilancarkan secara rasmi semalam oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di sebuah pusat beli-belah, di sini dan turut dihadiri isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor.

Sejurus tiba, Najib dan isteri menyaksikan pameran seni gambar hitam putih oleh artis seni visual tempatan iaitu Soon Hoe yang berpangkalan di Melbourne, Australia.

Majlis pelancaran dimulakan dengan persembahan tarian termasuk hip hop, moden, kontemporari, tradisional serta gendang oleh 60 artis dari Dua Space Theatre, Aswara, Amanda Brown dan Sutra Foundation.

Menurut Pengarah Festival Datin Sunita Rajakumar, acara seni berskala besar itu kali pertama dianjurkan pihaknya dan turut mendapat sokongan padu agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk persatuan seni tempatan.

Katanya, festival itu menjanjikan persembahan hebat artis dari 26 negara termasuk Indonesia, Singapura, Jepun, Korea, Myanmar, Vietnam, Australia, New Zealand, Amerika Syarikat, Thailand dan negara ini.

“Saya menyeru orang ramai hadir menonton sebanyak mungkin persembahan hebat oleh artis terkenal tempatan dan luar negara buat julung kalinya ini.

“Festival ini bukan hanya memaparkan kepelbagaian budaya Malaysia, malah keunikan dan keaslian persembahan budaya dan seni sejajar Tahun Festival 2015 dan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN,” katanya.

Beliau berkata, setiap genre persembahan dalam festival itu diselaraskan oleh kurator setiap bidang iaitu muzik oleh pemuzik jazz Michael Veerapen, tradisional (Eddin Khoo), tarian (Datuk Ramli Ibrahim), sastera (Mohd Khair Ngadiron) dan komedi (Harith Iskander).

“Persembahan tradisional Mugham oleh penyanyi lagenda dunia Alim Qasimov dari Azerbaijan dan pasangan adik beradik Mejr Ali dan Sher Ali (Qawwali) dari Pakistan antara bakal mencuri tumpuan dengan dikendalikan oleh Eddin Khoo selaku pengasas Pusat Kajian dan Dokumentasi Pementasan Tradisional Malaysia (PUSAKA).

“Selain itu, kita membawakan persembahan guru tarian Myanmar iaitu Shwe Mann U Win Maung yang didatangkan khas dari New York untuk mempersembahkan tarian teater ZatPwe,” katanya.

Sementara itu, bagi genre sastera empat acara utama bakal diadakan adalah Forum Penyair ASEAN dan Deklamasi Puisi ASEAN bertemakan puisi Suara Kemanusiaan, Persembahan Monolog ASEAN serta Persembahan Gabungan Wayang Kulit Kelantan (Malaysia) & Edo Ito Ayatsuri Ningyo (Jepun).

Orang ramai boleh melayari laman web www.diversecity.my untuk maklumat lanjut.

Disiarkan pada: September 1, 2015 @ 9:42am
d