mutakhir

Bina lebih murah

Oleh Hairulazim Mahmud

Sungai Buloh: Fakulti Pergigian Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang diiktiraf sebagai pusat pengajian pergigian terbesar di negara ini memulakan operasinya semalam.

Projek pembinaan yang melalui pelbagai fasa getir dan kontroversi itu akhirnya berjaya disiapkan dengan kos RM73.84 juta.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh ketika mengumumkan perkara itu berkata, fakulti berkenaan akan menjadi pusat kecemerlangan kajian dan perkhidmatan kesihatan oral dalam usaha melahirkan graduan profesional yang mampu berdaya saing di peringkat global.

Katanya, pengiktirafan itu melayakkan universiti awam (UA) berkenaan ke hadapan di samping memperbaiki kedudukannya dalam penarafan universiti utama di negara ini.

Kos asal kontrak projek itu ialah RM94.44 juta bagaimanapun berjaya dijimatkan kepada RM73.84 juta.

Projek pembinaan kampus itu yang dirancang sejak tujuh tahun lalu di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan menempatkan pelbagai kemudahan di bawah satu bumbung termasuk bahagian akademik, klinikal dan pentadbiran.

Pusat itu mempunyai tiga bilik pembedahan, wad dengan 10 katil, 16 klinik dengan 205 kerusi rawatan pergigian termasuk dua klinik khusus untuk orang kurang upaya (OKU), unit radiologi yang menyediakan kemudahan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) dan imbasan tomografi berkomputer Cone Beam (CBCT)

Selain itu, ia dilengkapi makmal penyelidikan, pusat pensterilan dan bekalan pergigian yang pertama seumpamanya di negara ini.

Pusat pengajian itu membabitkan bangunan 10 tingkat Fakulti Pergigian termasuk auditorium dan lapan tingkat kolej kediaman untuk pelajar.

Sementara itu, Naib Canselor UiTM Tan Sri Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata, dianggarkan seramai 205 pesakit mampu diberikan rawatan dalam satu-satu masa dengan jumlah pesakit seramai 400 hingga 500 orang sehari.

Disiarkan pada: September 2, 2015 @ 9:35am
d