mutakhir

Komitmen panjang dalam diam

Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

Memiliki kenderaan pada masa ini bukan perkara mewah, sebaliknya menjadi keperluan semua orang terutama yang berkeluarga dan mempunyai anak bagi memudahkan pergerakan ke mana-mana destinasi.

Perunding Kewangan Islam Al-Falah Advisor, Ahmad Humaizi Mat Noor berkata, dengan kemudahan pengangkutan awam terhad, kebanyakan individu membeli kereta secara berhutang atau sewa beli walaupun menyedari komitmen panjang dengan institusi kewangan.

“Keperluan memiliki kereta ada kalanya berubah menjadi pembaziran jika gagal memahami erti sebenar keperluan berkenaan.

“Kita perlu bijak mengimbangkan di antara keperluan dan liabiliti dalam pembelian kenderaan. Selepas membeli kereta, kita perlu menanggung kos seperti penyelenggaraan, insurans, cukai jalan dan petrol,” katanya.

Menurutnya, ada juga pendapat mengatakan membeli kereta baru menelan kos lebih rendah khususnya berkaitan kos penyelenggaraan.

“Ramai yang berpendapat lebih bijak membeli kereta baru kerana kos penyelenggaraannya jauh lebih rendah berbanding kereta terpakai, namun perlu diingat bahawa, penyelenggaraan kereta baru terhad di pusat servis yang dilantik oleh syarikat pengeluar kenderaan itu untuk memastikan jaminan tidak terbatal.

“Biasanya, kos servis di tempat terpilih sebegini lebih tinggi daripada tempat biasa,” katanya.

Menurutnya, ramai yang sukakan kereta baru kerana mahu kelihatan hebat, namun jumlah susut nilainya lazimnya lebih tinggi berbanding kereta terpakai, terutama jika ia kereta kontinental atau buatan Eropah.

Berkongsi panduan membeli kereta terpakai, Ahmad Humaizi berkata, seelok-eloknya pilih kereta berusia tidak lebih lima tahun, namun jika mahu kenderaan berusia lebih daripada itu, bawa bersama mekanik membuat pemeriksaan.

“Sudah tentu anda tidak mahu menanggung kos penyelenggaraan lebih tinggi kerana kerosakan pada kereta itu mungkin tidak kelihatan. Selain itu, tempoh jaminan kereta terpakai juga sudah luput,” katanya.

Katanya, mereka yang membeli kenderaan atas dasar minat semata-mata tanpa memikirkan kesan jangka panjang dari aspek kewangan, pasti menghadapi ‘bencana kewangan’.

“Ada juga membeli kenderaan untuk membuktikan ‘kejayaan palsu’, sedangkan hakikatnya kereta itu dicagar kepada bank.

“Harus diingat, kos pemilikan kenderaan bukan setakat membayar ansuran bulanan, tetapi perlu dikira sekali kos penyenggaraan berkala, petrol, insurans tahunan dan susut nilainya,” katanya.

Mengenai pembiayaan kewangan bagi pembelian kenderaan, Ahmad Humaizi berkata, institusi kewangan menetapkan garis panduan jumlah ansuran bulanan yang perlu dibayar pembeli satu pertiga daripada pendapatan.

“Namun jika mengikut formula itu, kita berpeluang mengalami masalah kewangan kerana biasanya ketika membeli kenderaan, kita belum ada komitmen kewangan lain. Dari semasa ke semasa, komitmen kewangan pasti bertambah.

“Contohnya, bayaran ansuran pinjaman pembelian rumah, pinjaman peribadi, kad kredit dan pembiayaan lain,” katanya.

Katanya, individu yang mempunyai rekod kredit baik boleh berbincang dengan institusi kewangan untuk kadar faedah keuntungan lebih rendah dan sebaik-baiknya disingkatkan tempoh pembayaran balik pinjaman kerana ia mampu menjimatkan kos.

Kesimpulannya, setiap individu harus menerapkan dalam minda kereta tidak menjadi aset, sebaliknya liabiliti yang tidak memberi pulangan.

Untuk maklumat lanjut Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), layari laman web www.kwsp.gov.my

Disiarkan pada: September 2, 2015 @ 9:53am
d