mutakhir

Promosi 700 peniaga

Oleh Hayati Ibrahim

Putrajaya: Karnival Usahawan Desa (KUD) 2015 yang membuka tirainya semalam menyasarkan untuk menerima kira-kira 1.5 juta pengunjung sepanjang lima hari karnival itu berlangsung sehingga Ahad ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pada 2014 kira-kira satu juta pengunjung hadir, namun dijangka lebih ramai berkunjung tahun ini memandangkan lebih banyak program, jualan dan aktiviti menarik disediakan 700 usahawan desa dalam karnival ini.

“Sebahagian besar mempromosikan produk desa, lebih menarik tahun ini kami turut memperkenalkan ikon produk baru iaitu pelancongan desa yang mempunyai konsep berbeza dengan program inap desa.

“Pengunjung juga boleh melihat sendiri dan meninjau apa saja program yang dianjurkan seperti ekspo perdagangan produk milik usahawan desa, sekali gus memberi sokongan dan dorongan kepada mereka untuk mempromosi produk keluaran mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan ke tapak program dan sesi raptai majlis perasmian KUD 2015 di Presint 3 di sini, semalam.

Turut hadir, timbalan menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Ismail Sabri berkata, program untuk kanak-kanak juga turut disediakan termasuk belon udara panas dan penampilan kerektor animasi terkenal Boboiboy serta Upin dan Ipin.

Lebih menarik, persembahan kebudayaan, permainan tradisional, makanan tradisi, pertandingan gubahan bunga segar dan hantaran, cabutan bertuah serta beca berhias turut menyerikan karnival yang sudah ditetapkan mengikut zon masing-masing.

Malah, peminat penceramah bebas Datuk Kazim Elias dan penyanyi Indonesia Opick akan membuat penampilan istimewa di pentas utama pada jam 8.30 malam ini dalam Program Kerohanian KUD.

KUD 2015 dibuka kepada orang ramai dari jam 9 pagi hingga 10 malam secara percuma dan lokasi karnival adalah tempat letak kenderaan di belakang Istana Kehakiman, Presint 3.

Disiarkan pada: September 3, 2015 @ 9:21am
d