mutakhir

Fadhli mahu bikin filem

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Bergelar insan istimewa bukan penghalang bagi seorang orang kurang upaya (OKU), melanjutkan pelajarannya ke menara gading demi mengejar impiannya menjadi pengarah filem.

Ahmad Fadhli Abdul Wahab, 24, yang mengalami ‘blount disease’, boleh bangga walaupun fizikalnya tidak sempurna seperti orang lain, tetapi kini mampu bergelar mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM).

Ahmad Fadhli yang berasal dari Rawang, Selangor itu berkata, dia menghidap penyakit berkaitan tulang berkenaan sejak lahir yang menyebabkan kedua-dua kakinya cacat.

Walaupun sudah bersedia, Ahmad Fadhli tetap berasa gementar dengan cabaran baru yang bakal ditempuh selama tiga tahun bagi mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Komunikasi yang bermula semalam.

“Ketika mengikuti program Diploma di Kolej Profesional Mara (KPM), Beranang, Selangor, saya sering mencuba nasib dengan menghantar naskhah skrip kepada pengarah filem tanah air dan ini akan membuka lebih peluang bagi mencapai impian sebagai pengarah filem.

“Saya sudah biasa berdikari dengan keadaan begini, namun saya pasti setiap bidang itu ada cabarannya dan teruja bergelar mahasiswa di universiti ini,” kata anak bongsu daripada tiga beradik itu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya

Disiarkan pada: September 3, 2015 @ 9:55am
d