mutakhir

Panik sekejap!

Oleh Siraj Mohd Zaini

Kuala Lumpur: Seorang pemandu van melambung bersama kereta dipandu sejurus dirempuh sebuah kereta berhampiran selekoh di Jalan Kuching, di sini.

Mangsa berusia 47 tahun itu patah kaki dan mengalami gegaran otak bagaimanapun diselamatkan sejurus van dipandu terbakar akibat pelanggaran.

Kejadian jam 8 pagi semalam turut mencetuskan panik apabila ada pihak menyebarkan maklumat palsu di media sosial mendakwa berlaku jambatan runtuh di lokasi kejadian.

Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain berkata, kemalangan berlaku apabila kereta Honda Civic terbabas ke laluan bertentangan sebelum merempuh van.

Menurutnya, rempuhan itu menyebabkan van berkenaan terbalik selain mengakibatkan tiga motosikal di belakang van itu gagal mengelak.

“Seorang penunggang motosikal berusia 27 tahun patah tangan dan luka di kaki.

“Tiga mangsa iaitu pemandu van dan dua penunggang motosikal menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) manakala polis masih mengesan dua lagi penunggang motosikal lain bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, van itu mengalami kebakaran kecil, namun api dipadam anggota bomba dan penyelamat.

“Polis juga mengesan pemandu kereta Honda Civic bagi membantu siasatan dan setakat ini kenderaan itu didaftarkan atas nama sebuah syarikat,” katanya.

Kemalangan mengakibatkan kesesakan teruk di jalan berkenaan lebih 10 kilometer (km) sehingga jam 11 pagi semalam.

Sementara itu, Rapid Rail Sdn Bhd kesal dengan tindakan segelintir pengguna media sosial menyebarkan berita palsu kononnya laluan Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) jatuh di atas jalan raya berdekatan kompleks beli-belah Sogo.

Jurucakapnya, Lim Jin Aun berkata, kemalangan itu tiada kaitan dengan operasi LRT, namun penyebaran berita itu menimbulkan panik kepada pengguna LRT di laman Facebook dan Twitter.

“Pengguna boleh menyemak status terkini mengenai perkhidmatan LRT
dan Monorel menerusi Twitter@MyRapidKL bagi maklumat terkini dan sahih,” katanya dalam kenyataan media.

Disiarkan pada: September 4, 2015 @ 6:28am
d