mutakhir

Minda langkaui zaman

Oleh Hayati Ibrahim dan Siti A’isyah Sukaimi

Putrajaya: Usahawan dalam bidang perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu berani mencabar diri dengan menceburi bidang perniagaan yang tidak terfikir oleh orang lain untuk menjana pendapatan jauh lebih besar.

Malah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, mereka juga perlu menghindari sikap suka ‘makan gaji’, sebaliknya mencabar diri untuk menjana pekerjaan, selain menjadi lebih kreatif serta inovatif dalam bidang yang diceburi.

“Jangan ceburi bidang perniagaan yang sudah ramai pengusaha membuat produk atau menyediakan perkhidmatan sama di satu tempat kerana pendapatan bakal diperoleh mungkin kecil, mendatar dan lebih membimbangkan pendapatannya kemungkinan akan melebihi kos perniagaan.

“Jadi kita mesti mencari bidang perniagaan yang boleh menjana kekayaan dan nilai, pada masa sama, mereka perlu ada sikap mahu menyediakan pekerjaan (kepada orang lain) dan bukannya mencari kerja untuk diri sendiri,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Karnival Usahawan Desa (KUD) 2015 di Presint 3, di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta dua timbalannya Datuk Alexander Nanta Linggi dan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Pada majlis itu Najib menyerahkan Anugerah Cemerlang Pertandingan Cabaran Perniagaan Luar Bandar (RBC) bagi kategori Pengembangan Perniagaan (PP) kepada usahawan berjaya.

Najib berkata, produk dan perkhidmatan KS dan hasil pertanian perlu dibawa lebih dekat kepada pasaran sama ada di peringkat tempatan atau serantau bagi memastikan usahawan ini memperoleh pendapatan lebih besar.

“Selain membawa produk kepada pasaran secara fizikal, kementerian atau pihak berkenaan perlu mewujudkan satu kaedah memastikan jumlah hasil jualan sesuatu barangan dapat ditingkatkan dengan sebahagian besar pendapatan dikembalikan kepada pengusaha PKS.

“Satu daripada caranya mengadakan karnival seperti ini (KUD 2015), kita mesti membawa pasaran menghampiri pengeluar secara fizikal, jadi produk dijual dan pendapatan itu sebahagian besar peratusannya mengalir ke tangan pengusaha PKS atau petani,” katanya.

Sementara itu, Najib berkata, beliau memberi jaminan walaupun negara menghadapi kemelut ekonomi dunia yang sedikit sebanyak mencengkam nilai mata wang dan pendapatan negara, pembangunan luar bandar terus kekal sebagai keutamaan antara tertinggi dalam pertimbangan kerajaan.

Disiarkan pada: September 4, 2015 @ 6:45am
d