mutakhir

Ekonomi kukuh

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Ekonomi Malaysia pada masa kini jauh lebih kukuh, berdaya tahan serta mampu menangani sebarang cabaran berbanding ketika krisis kewangan pada 1997/1998.

Ini, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, hasil pelaksanaan pelbagai langkah pembaharuan yang diambil kerajaan.

“Sejak 15 tahun lalu, kita melaksanakan pelbagai langkah pembaharuan struktur yang penting dalam sistem kewangan serta perbankan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Simposium Pasaran Modal Sedunia, di sini, semalam.

Antara langkah pembaharuan itu termasuk memperkenalkan rangka kerja kawal selia penanda aras antarabangsa dan rejim kawalan lebih ketat, pengukuhan peraturan berhemat bagi penggiat pasaran serta pembaharuan tadbir urus koporat yang meluas.

Hasilnya, antara kejayaan langkah pembaharuan itu termasuk kemunculan pasaran bon mata wang yang ketiga terbesar di Asia dengan nilai RM1.1 trilion.

Menurut Najib, pasaran bon itu turut membantu mengurangkan penggantungan negara terhadap pinjaman jangka pendek menggunakan mata wang asing sebagaimana yang berlaku dalam krisis 1997-1998.

“Selain daripada itu, pasaran ekuiti juga berkembang kepada RM1.5 trilion tahun ini berbanding RM175 bilion pada 1998, dengan lembaran imbangan korporat yang lebih kukuh dan syarikat senaraian awam yang ditadbir dengan baik,” katanya.

Beliau berkata, dengan berperanan sebagai sumber pembiayaan jangka panjang bagi melengkapi sistem perbankan, pasaran modal Malaysia telah menyalurkan RM376 bilion menerusi tawaran awam permulaan dan terbitan bon sejak 2012.

“Ini menghasilkan pembentukan modal dan pekerjaan dalam sektor-sektor yang luas seperti prasarana, telekomunikasi dan pertanian dengan pembentukan modal tetap kasar antara 26 dan 27 peratus daripada keluaran dalam negara kasar bagi tempoh sama,” katanya.

Najib turut melahirkan keyakinan terhadap kemampuan Jawatankuasa Khas Ekonomi yang baru dibentuk dalam merangka pelan tindakan serta merta dan jangka sederhana bagi mengukuhkan lagi kedudukan ekonomi Malaysia.

“Saya yakin kebijaksanaan dan pengalaman yang terkumpul jawatankuasa itu akan memastikan ekonomi kita kekal berada di landasan yang dihasratkan,” katanya.

Mengenai Komuniti Ekonomi ASEAN, perdana menteri berkata, usaha penyepaduan serantau adalah seiring dengan sektor swasta yang semakin berperanan aktif dalam membuka peluang besar yang ditawarkan rantau itu.

“Usaha penyepaduan dalam sektor kewangan, terutamanya menunjukkan kemajuan yang baik, seperti kita boleh lihat daripada kehadiran penyedia perkhidmatan sektor kewangan dengan kedudukan serantau yang kukuh,” katanya.

Disiarkan pada: September 4, 2015 @ 6:46am
d