mutakhir

3 penculik dijel seumur hidup

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, semalam, menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan enam sebatan terhadap tiga rakan selepas didapati bersalah menculik budak lelaki warga Belanda, tiga tahun lalu.

Hakim Kamardin Hashim menjatuhkan hukuman itu terhadap Chong Tat Siong, 27, Foong Khar Fai, 22, dan Lee Phak Seng, 27, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Terdahulu, Hakim Kamardin berkata, sebelum membuat keputusan mahkamah mengambil kira faktor kepentingan awam dan mitigasi (rayuan) yang dikemukakan ketiga-tiga tertuduh.

“Di Malaysia kesalahan menculik adalah serius dan hanya dua pilihan hukuman sama ada tertuduh dihukum gantung atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan sebat.

“Belanda pula iaitu sebuah negara sivil yang tidak mengenakan hukuman mati, tetapi secara purata menjatuhkan hukuman penjara sekurang-kurangnya 11 tahun bagi kesalahan menculik atau bunuh,” katanya.

Oleh itu, katanya, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup bermula dari tarikh tangkapan dan enam sebatan bagi setiap tertuduh.

Chong (penjual telefon bimbit), Foong (penganggur) dan Lee (bookie) didakwa menculik kanak-kanak berusia 12 tahun (ketika kejadian) di Jalan Kiara 1, Mont Kiara, jam 7.30 pagi, 27 April 2012.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Disiarkan pada: September 4, 2015 @ 6:49am
d