mutakhir

Syarikat minta maaf

Sandakan: Pihak pengurusan sebuah syarikat keselamatan memohon maaf terhadap tindakan pengawal keselamatan mereka yang dirakam orang ramai menendang seorang wanita dipercayai kurang siuman ketika duduk di hadapan sebuah bank di Bandar Prima Square, Batu Empat, di sini, sehingga menjadi ‘viral’ di laman sosial.

Menurut Pengurus Kanannya Abdul Halim Mohd Zain, pihaknya mengakui perbuatan biadab pekerjanya dan sudah mengambil tindakan menggantung perkhidmatan pengawal berusia 26 tahun itu untuk siasatan lanjut.

“Kami mengakui kesilapan pengawal keselamatan yang melakukan kekasaran terhadap wanita itu dan ia berlaku tanpa disengajakan.

“Syarikat memohon maaf kepada wanita dan pihak bank terhadap kejadian itu,” katanya, semalam.

Abdul Halim berkata, pihaknya sentiasa memberi latihan kepada setiap pengawal keselamatan dilantik, namun kejadian berlaku antara mereka kemungkinan di luar kawalan masing-masing.

“Kami mendapati wanita itu sering berkeliaran di sekitar kawasan ini dilihat hampir setiap hari.

“Tindakan gantung tugas dikenakan terhadap pengawal keselamatan ini walaupun dia mendakwa terlebih dulu diludah wanita itu,” katanya.

Disiarkan pada: September 4, 2015 @ 6:50am
d