mutakhir

Permudah hak milik strata

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Akta Hakmilik Strata (Pindaan) 2013 akan dibentangkan di Parlimen tahun depan bagi membantu menyelesaikan lebih 300,000 permohonan hak milik strata terutama bagi bangunan lama yang diduduki sebelum 2007.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, cadangan pindaan itu akan membantu memudahkan cara permohonan hak milik strata termasuk pengecualian keperluan menyediakan dokumen tertentu.

“Cadangan pindaan turut dibuat bersama-sama dengan pindaan Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486) bagi memudahkan pengambilan tanah yang membabitkan skim pembangunan berstrata serta tanah di bawah tanah.

“Menerusi pindaan ini, projek pembangunan yang memerlukan pengambilan sama ada keseluruhan skim strata, sebahagian skim atau melalui di bawah bangunan berstrata akan dipermudahkan,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja rasmi ke Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, di sini, semalam.

Katanya, ketika ini, pejabat tanah di seluruh Semenanjung memproses 229,000 permohonan hak milik strata untuk didaftarkan dan dianggarkan 300,000 permohonan hak milik strata belum didaftarkan kerana komplikasi perundangan.

Dalam perkembangan lain, Wan Junaidi berkata, masalah jerebu yang melanda beberapa tempat di negara ini dijangka berterusan sehingga Oktober depan.

“Ini semua berpandukan pada kitaran angin. Mengikut rekod, Indeks Pencemaran Udara (IPU) paling tinggi dicatat di Alor Setar dengan bacaan 83, manakala di negeri lain sekitar 70,” katanya.

Disiarkan pada: September 5, 2015 @ 5:26am
d