mutakhir

Api gas sambar dapur artis nasyid

Kuala Lumpur: Anggota kumpulan nasyid Muhibbain, Erwan Taib, 39, berdepan detik mencemaskan apabila dapur rumahnya di Alam Damai, Cheras, dekat sini, musnah dalam kebakaran, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 10.50 pagi itu, hanya dia dan pembantu rumahnya berada di rumah manakala isteri, Norhafizah Mohd Khalid, 37, keluar bekerja dan tiga anak mereka bersekolah.

“Sebelum kejadian, pembantu rumah sedang memanaskan makanan sebelum meninggalkannya sekejap untuk ke depan rumah.

“Bagaimanapun apabila kembali semula ke dapur, dia nampak percikan api dipercayai daripada tong gas sebelum menjerit memanggil saya.

“Saya tak berani nak menyimbah api yang mula marak itu dengan air kerana bimbang tong gas meletup,” katanya yang menghubungi bomba sejurus selepas itu.

Erwan berkata, berikutan kejadian itu seluruh dapurnya musnah tetapi bersyukur kerana dia dan keluarga terselamat.

Katanya, mereka sekeluarga baru pulang dari Langkawi kerana menghadiri majlis perkahwinan adiknya di sana.

“Mujur kejadian berlaku ketika kami pulang ke rumah. Jika tidak mungkin keadaannya lebih buruk,” katanya.

Disiarkan pada: September 8, 2015 @ 5:02am
d